Sambut kunjungan hormat Duta AS: Di manakah sensitiviti kita terhadap umat Islam?

Belum pun sampai seminggu bertugas sebagai Menteri Pertahanan Malaysia yang baru, Mohamad Sabu telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Kamala Shirin Lakhdir pada 24 Mei baru-baru ini. Kunjungan delegasi AS tersebut diterima di pejabatnya di Wisma Pertahanan dengan ditemani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Junaidah Kamarruddin serta beberapa pegawai Kanan Kementerian Pertahanan, sebagaimana yang dilaporkan media tempatan. Namun, isi perbincangan antara kedua-dua belah pihak sewaktu kunjungan tersebut tidak dilaporkan setakat penulisan ulasan ini.

Sumber berita: astroawani.com


Komentar:

AS merupakan sebuah negara kuasa besar yang mempunyai banyak rekod buruk dalam polisi luarnya terhadap dunia Islam. Bahkan sehingga ke saat ini, AS masih lagi meneruskan dasar luarnya yang mendatangkan pelbagai musibah serta penderitaan ke atas umat Islam. Terbaru, AS di bawah pentadbiran Donald Trump telah pun memindahkan kedutaannya ke negara haram Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem (Baitul Maqdis), sekaligus mengukuhkan lagi pengiktirafannya sebagai ibu negara ‘Israel’. Tindakan tersebut dibuat di saat umat Islam di Gaza berdepan dengan kezaliman tentera rejim Zionis yang membunuh 55 orang dan mencederakan ribuan umat Islam baru-baru ini [/gaza-55-terkorban-di-mana-tentera-muslimin/].

AS juga bertanggungjawab ke atas penderitaan dan kekacauan yang terjadi di Timur Tengah terutamanya di Iraq setelah negara tersebut dijajah pada 2003 atas alasan kewujudan senjata pemusnah massa (WMD) yang hakikatnya tidak wujud sama sekali. Jelaslah bahawa tindakan ketenteraan AS tersebut hanya bertujuan untuk menjatuhkan Saddam Hussein dan bermotifkan kepentingan ekonomi bagi merebut kekayaan minyak di bumi Iraq. Setelah Iraq dihancurkan, AS bertindak menarik keluar tenteranya sehingga menyebabkan huru-hara timbul akibat perebutan kuasa dan kemunculan kelompok militan Islamic State of Iraq (yang kemudiannya bergabung membentuk ISIS/Daesh).

Perang Melawan Keganasan (War on Terror) yang tercetus semasa zaman Bush Jr. turut membawa kehancuran ke atas Afghanistan sehingga ke hari ini. Legasi Bush kemudiannya diteruskan oleh Obama, yang menyaksikan negara Uncle Sam tersebut melakukan serangan demi serangan dron ke atas sasaran yang dikatakan pengganas di Yaman dan di wilayah Waziristan Utara, Pakistan. Tindakan unilateral AS tersebut jelas mencabar kedaulatan Pakistan dan Yaman, namun para penguasa Muslimin hanya akur kerana bimbang kehilangan kuasa sedangkan mereka memegang kekuatan ketenteraan umat Islam yang cukup ampuh bagi menghadapi sebarang tindakan oleh AS. Sekuat mana sekalipun ketenteraan AS, pasti tidak akan mampu menghadapi kekuatan tentera Muslimin seandainya kekuatan tersebut disatukan dan digerakkan oleh sebuah kepimpinan yang berintegriti dan menjunjung tinggi Islam.

Malangnya kekuatan ini disekat dan dipisah-pisahkan, bahkan ada yang dihalakan bagi menentang sesama Muslimin sepertimana yang disaksikan di Yaman dan Syria pada saat ini. Tiada sebutir peluru pun dihalakan ke arah entiti haram Israel meskipun di saat ini mereka membunuh saudara se-Islam kita di Gaza. Apa yang ada hanyalah retorik yang langsung tidak disandarkan dengan tindakan tuntas.

Kini polisi-polisi luar AS yang memusuhi Islam diteruskan lagi oleh Trump ekoran pemindahan kedutaan AS ke Jerusalem. Sikap Trump yang terang-terang menyatakan sokongan terhadap ‘Israel’ juga membuktikan bahawa AS tidak pernah mengubah dasar luarnya ke atas dunia Islam, biarpun presidennya bersilih ganti.

Justeru, tindakan menyambut mesra kunjungan hormat Duta AS ini merupakan suatu yang tidak wajar serta memberikan mesej yang negatif terhadap dunia Islam kepada Malaysia di saat AS melaksanakan polisi-polisi luar yang jelas memusuhi Islam. Setidak-tidaknya Mohamad Sabu atas kapasitinya selaku Menteri Pertahanan sepatutnya menolak kunjungan hormat Duta AS ini sebagai tanda bantahan terhadap polisi luar AS ke atas umat Islam, di samping menegaskan mesej yang jelas mendesak AS mengubah polisi-polisi tersebut. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis HTM